Sunday, August 15, 2010
Kumpulan Koir Gabungan KKD Sandapak Tibabar dan KKD Pinampangan Toboh Juara
Paroki Holy Cross Toboh mencipta satu lagi sejarah pada hari ini (15 Ogos 2010) apabila satu daripada 7 buah lagu yang dipertandingkan terpilih menjadi lagu khas paroki dalam pertandingan Pesta Koir yang dianjurkan oleh Kerasulan Belia Katolik Holy Cross Toboh. Lagu yang dicipta oleh En. Wences Linus yang bertajuk “Salip Kamanangan Om Koponomposian Tokou”, yang telah dipersembahkan oleh Kumpulan Koir gabungan KKD Sandapak Tibabar dan KKD Pinampangan Toboh telah terpilih menjadi lagu khas paroki ,sekaligus merangkul dua gelaran iaitu selaku ciptaan terbaik serta juara keseluruhan persembahan terbaik dalam pertandingan pesta koir ini.
Pesta Koir Paroki Holy Cross Toboh ini merupakan sebahagian daripada agenda dalam menyambut Jubili Intan Paroki ( 78 tahun ) yang akan diadakan pada 12 September 2010. Mengulas tentang Pesta Koir peringkat paroki ini, Rektor Paroki, Rev. Fr. Boniface Kimsin menerangkan bahawa tujuan sebenar pertandingan ini diadakan adalah untuk mencari dan memilih lagu yang akan dijadikan sebagai lagu khas paroki Holy Cross Toboh. Lagu yang terpilih ini adalah berdasarkan kepada tema “Salip Kemenangan dan Keselamatan Kita” iaitu bersesuaian dengan gereja Holy Cross Toboh. Ini juga sebagai sebahagian daripada sambutan Pesta Kemenangan Salip yang diadakan pada 14 September setiap tahun. Sementara itu, pengerusi MPP Holy Cross Toboh, En. Jerry Kilip melahirkan rasa syukur kerana pesta Koir peringkat paroki ini telah berjaya mencapai objektifnya di mana akhirnya lagu khas untuk paroki Holy Cross Toboh telah ada.
Secara keseluruhannya, persembahan yang dipamerkan oleh kesemua 7 kumpulan koir ini telah memberikan persembahan yang terbaik. Juara pertandingan ini telah disaingi hebat oleh kumpulan peserta yang lain terutama sekali oleh kumpulan koir dari KUK Sunsuron 1 yang mendapat tempat kedua sementara kumpulan koir KBK Pusat Paroki tidak kurang hebatnya walaupun hanya menduduki tempat yang ketiga.
Ketika dihubungi, En. Wences Linus selaku pencipta lagu terbaik melahirkan rasa gembira dan bersyukur kepadaTuhan kerana dapat mencipta lagu yang boleh membawa umat Katolik mengerti tentang keselamatan dan kemenangan Salip Kristus. Beliau juga menambah agar golongan belia sentiasa bersemangat terutamanya dalam mencipta dan mempersembahkan lagu-lagu pujian untuk Tuhan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment